Ibu bapa Zhen Zhong keluar dari rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.
Subang Jaya: Ibu bapa William Yau Zhen Zhong, 6, semalam mengesahkan mayat ditemui di Pelabuhan Klang, petang kelmarin, adalah anak mereka, namun kehilangannya terus menjadi misteri.
Ini berikutan Zhen Zhong dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya, manakala mayatnya dijumpai tersangkut pada bot di Sungai Sireh, kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu.
Belum sah punca kematian
Malah, polis sehingga kini tidak dapat mengesahkan punca kematiannya walaupun bedah siasat selesai dijalankan semalam.
Bercakap pada sidang media di sini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, hanya berkata bedah siasat tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah, kecuali kesan gigitan ikan.
Beliau tidak menolak kemungkinan Zhen Zhong terjatuh ke dalam Sungai Klang di Kampung Bukit Lanchong berhampiran Putra Heights sebelum dihanyutkan ke lokasi mayatnya ditemui.
“Ini berikutan kedudukan sungai itu agak hampir (tiga kilometer) dengan lokasi beliau dilaporkan hilang... ada kemungkinan dia terjatuh sebelum lemas dan dihanyutkan arus.
“Buat masa ini, kita masih klasifikasi kes ini sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih dijalankan.Kita akan menemubual abang mangsa untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian,” katanya.
Tersangkut pada bot
Mayat Zhen Zhong ditemui tersangkut pada bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Rumah Pangsa Seri Perantau, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Pagi semalam, ibu bapa Zhen Zhong, Yau Kok Kang, 32, dan isterinya, Goh Ying Ying, 26, mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka selepas proses pengecaman di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Bagaimanapun, polis enggan mengesahkan identiti mayat kanak-kanak itu sehingga memperoleh keputusan ujian DNA terhadap sampel tulang dan rambut mangsa.
Cam seluar, parut
Yahaya berkata, ibu bapa Zhen Zhong membuat pengecaman berdasarkan seluar dalam dan seluar pendek dipakai kanak-kanak itu, selain tiga kesan parut, masing-masing satu di dahi serta dua di belakang kepala mangsa.
“Pada mulanya, ibu bapa Zhen Zhong menafikan mayat itu anak mereka, namun selepas mayat dibersihkan mereka mengesahkannya berdasarkan parut pada dahi dan belakang kepalanya ketika proses pengecaman kali kedua.
“Bagaimanapun, kita hanya boleh membuat pengesahan rasmi selepas memperoleh keputusan ujian DNA yang dijangka keluar tiga hari lagi,” katanya.
Zhen Zhong hilang di hadapan sebuah kedai elektrik di Putra Heights, Subang Jaya, selepas makan malam bersama ibu bapa dan dua beradiknya di Puchong.