Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

‘Wanita jangan tengok’


Oleh ROSLI ILHAM
Dungun: “Arwah pernah pesan, jika meninggal dunia, dia tidak mahu ada seorangpun wanita menyaksikan pengebumiannya,” kata Suzana Mohamad, 31, isteri kepada Mohamad Khaibil Mat Jidin, 35, yang maut dalam kemalangan di Jalan Gong Pasir-Balai Besar, dekat sini, semalam.
Mohamad Khaibil dari Felda Chalok Barat, Setiu, maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terhumban di atas jalan, jam 6.30 pagi.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Hospital Dungun sebelum mangsa dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Dungun.
Bagaimanapun, Allahyarham yang cedera parah di kepala meninggal dunia di hospital jam 12.45 tengah hari.
Suzana berkata, ketika kejadian, arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu kren dalam perjalanan dari rumah mereka di Setiu untuk ke tempat kerjanya di Pusat Bekalan Kemaman (KSB).
“Setiap minggu dia pulang ke Setiu.
Sebelum ini, dia sering memandu kereta dan hari ini (semalam) dia keluar dari rumah pada jam 5 pagi.
“Saya tak tahu kenapa dia menunggang motosikal ke tempat kerja, sedangkan sebelum ini dia sering memandu kereta,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun di sini, semalam.

Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan perubahan pelik kecuali sebelum turun dari rumah pagi itu, dia sempat berpesan supaya menjaga diri serta anaknya dengan baik.
“Sebelum ini dia tak pernah berbuat demikian.
Foto
SUZANA mencium jenazah suaminya.

Saya pelik hinggalah dimaklumkan seorang rakannya yang arwah terbabit kemalangan,” katanya.
Suzana berkata, sebulan lalu, arwah suaminya bercerita mengenai soal agama bersama adiknya Zarifah, 25, dan berpesan tidak mahu seorang pun wanita menyaksikan pengebumiannya kerana tidak mahu mendatangkan fitnah.
“Dia sebaliknya hanya membenarkan kuburnya diziarahi sebaik selesai kerja pengebumian,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa meninggal akibat parah di kepala dan jenazahnya yang siap dimandi dan dikafan di Hospital Dungun diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment