Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

TV3 diarah bayar RM320,000


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Mahkamah Tinggi, di sini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) membayar ganti rugi RM320,000 kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Nurul dan suaminya, berhubung tuntutan menyiarkan gambaran visual bersifat fitnah dalam rancangan Melodi, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu hari ini dengan kehadiran peguam David Dev Peter yang mewakili pasangan Nurul atau nama sebenarnya, Nurullah Zawawi, 31, dan Mohd. Munzil Muhamad, 30, manakala TV3 diwakili dua peguam, R. Divya Nair dan Wee Jason.
Turut hadir di galeri awam untuk mendengar keputusan itu adalah Mohd. Munzil dan keluarganya namun Nurul tidak kelihatan.
Dalam penghakiman Hakim Nor Bee menetapkan RM250,000 sebagai ganti rugi manakala selebihnya sebagai kos perundangan.
Pasangan itu selaku pihak plaintif memfailkan pernyataan tuntutan pada 5 September 2011 dengan mendakwa saluran televisyen itu antara pukul 12.30 tengah hari dan 1.30 petang, 26 Jun tahun sama menyiarkan fitnah mengenai status perkahwinan serta hal ehwal peribadi mereka melalui rancangan Melodi.
Selain TV3, mereka menamakan penerbit Melodi Azman Abd. Ghafar, wartawan hiburan, Michelle Wee Lili, syarikat ALT Media Sdn. Bhd. dan abang kandung Nurul, Bustamam Zawawi sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Nurul dan Mohd. Munzil menyatakan, gambaran visual yang disiarkan membawa maksud antaranya, perkahwinan mereka tidak sah di sisi undang-undang dan agama selain menipu ibu bapa serta keluarga dan jahil dalam soal agama.
Hakim Noor Bee membuat keputusan setelah mengupas semua insiden yang berlaku dalam kes saman itu selain mendapati pembelaan pihak defendan tidak dapat dibuktikan.
Tambahan pula menurut beliau, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat telah mengesahkan pernikahan mereka mengikut hukum syarak.
Selain itu, ujar Hakim Noor Bee, Nurul telah cuba mendekati bapa kandungnya tetapi usaha itu tidak berjaya.
Dalam saman tersebut, pasangan itu menyatakan akibat penyiaran visual oleh pihak defendan, reputasi mereka telah dianggap sebagai rendah.
Sehubungan itu pasangan terbabit menuntut ganti rugi teruk, ganti teladan selain injunksi agar tidak mengulangi fitnah tersebut.
Mohd. Munzil sebelum ini seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di sebuah universiti luar negara.
Beliau juga sebelum itu pernah bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131222/ma_01/TV3-diarah-bayar-RM320000#ixzz2oBEiZLWn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment