Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Terhumban 30 meter


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: “Saya sempat bertanya kepadanya apa yang berlaku dan dia memberitahu, terjatuh dari buaian berpusing sebelum muntah darah dan tidak bermaya.

“Melihat keadaannya itu, saya mendukung Khairul dan berlari mendapatkan bantuan,” kata Abu Kassim Yaacob, 41, bapa kepada Muhammad Khairul Naimmie Abu, 6, yang koma selepas terjatuh dari buaian berpusing ‘Euro Wheel’ di tapak pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, di sini, awal pagi semalam.


Menurutnya, mujur ada seorang rakan yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudi menumpangkan kenderaannya untuk membawa anak yang parah itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP).



Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa mengalami pendarahan dan cedera pada organ dalaman serta patah tulang rusuk. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).


Difahamkan, Khairul terjatuh dari ketinggian mencecah hampir 30 meter dan ketika itu, semua peniaga menutup operasi perniagaan masing-masing di tapak pesta berkenaan.


Mangsa dikatakan masuk ke dalam satu daripada buaian berpusing berkenaan, namun dia panik kerana bekalan elektrik diputuskan, membuka pintu lalu terjatuh.

Menceritakan kembali kejadian itu, Abu Kassim, yang juga peniaga di tapak pesta itu berkata, dia dimaklumkan beberapa rakan yang anaknya ditimpa kemalangan kerana terjatuh dari buaian berpusing itu.


Dia terus bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat keadaan Khairul yang lemah sebelum memangkunya tubuhnya untuk dibawa ke hospital.

Sejurus tiba di hospital, anaknya tidak sedarkan diri menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. “Doktor memaklumkan terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang satu buah pinggang manakala limpa anak saya pecah serta usus perut terpaksa disambung,” katanya.


“Saya kemudian diminta menandatangani borang untuk pembedahan dan hanya mampu berdoa supaya Khairul selamat,” katanya.


Menurutnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku, namun melihatkan keadaan beberapa buaian berpusing yang pecah cermin, dia percaya Khairul terjatuh daripada tingkat yang tinggi sebelum terhempap ke bawah.


“Saya tidak dapat bayangkan penderitaan anak saya ketika dia terjatuh dan tidak tahu bagaimana dia boleh masuk ke dalam satu daripada buaian berpusing berkenaan kerana ketika itu, semua permainan di pesta mahu menghentikan operasi.


“Saya pelik kerana tidak mungkin operator yang menjaga permainan itu tidak menyedari anak saya masuk sedangkan jarak antara tempat kawalan buaian berpusing itu tidak jauh,” katanya.


Kata Abu Kassim, dia kini mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penganjur yang dilihat cuai dan tidak menitik beratkan soal keselamatan.


“Saya tunggu hingga keadaan anak pulih dan mungkin akan mengambil tindakan kepada penganjur, namun buat masa ini saya hanya memikirkan keadaan anak terlebih dulu,” katanya.


Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan polis jam 4 pagi semalam dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Nasir Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment