Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Terdampar tepi pantai


Oleh Mohd Sah Muda
Mersing: “Sepanjang kira-kira 60 jam hanyut di laut saya hanya mampu berpaut pada tong diesel dan membaca surah al-Fatihah tanpa henti.
“Terbayang wajah isteri dan anak, namun saya bersyukur akhirnya selamat,” kata Mohamad Sharil Zulkifli, 28, seorang daripada tiga mangsa yang dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka tenggelam berhampiran Batu Gongcang Nenasi, Pahang, Sabtu lalu. 
Mohamad Sharil ditemui terdampar di Pantai Teluk Sisek Endau pada jam 7 pagi semalam, manakala dua rakannya yang juga jiran anak-beranak, Mohamad Isa Awang, 48 dan anaknya Mohamad Asri Mohamad Isa, 17, masih belum ditemui. 

Mohamad Sharil berkata, pada jam 5.30 pagi Sabtu lalu, dia bersama Mohamad Isa dan Mohamad Asri keluar menangkap ikan mengguna bot gentian kaca.
Foto
MOHAMAD Sharil (kiri) dibantu pegawai perubatan mendapat rawatan.

Menurutnya, selepas sejam ke laut dekat Batu Gongcang Nenasi, Pahang, dia menurunkan dua pukat dan rakannya menarik satu pukat.

“Kami memperolehi banyak ikan kembung dan melebihi dua tong besar dibawa menyebabkan kami bercadang meninggalkan satu pukat. 

“Selepas memasukkan ikan kami bersiap untuk pulang ke pangkalan Mercong Pahang sebelum tiba-tiba angin serta ombak besar datang menyebabkan air memasuki bot. 

“Saya mengambil keputusan membuang semula ikan yang diperolehi kerana bimbang bot berat hingga karam, namun air masuk terlalu banyak menyebabkan kami panik,” katanya. 

Menurutnya, selepas membuang ikan ke laut air semakin banyak masuk menyebabkannya terbalik menyebabkannya mencapai tong berisi diesel dan membuang diesel membolehkannya menjadi pelampung selepas bot terbalik. 

Katanya, dia mengikat badan dan tangan menggunakan tali dan hanyut dipukul ombak serta teringat pesan ustaz membaca al-Fatihah. 

“Saya melihat Mohamad Isa dan Mohamad Asri masing-masing mengikat diri pada tong diesel lain, namun kami terpisah akibat dipukul ombak. 

“Selepas beberapa jam, saya ternampak bot nelayan besar di kawasan berhampiran dan menjerit serta melambai ke arah mereka meminta bantuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment