Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Tentera naik hantu


Seorang anggota tentera yang mempunyai masalah dengan isterinya mengamuk dan menetak wanita berkenaan dan mentua, sebelum melarikan anak tunggalnya.

Tidak cukup dengan amukan itu, dia yang membawa bersama beberapa rakan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dikatakan turut mengacukan objek berbentuk pistol ke arah jiran menyebabkan mereka tidak dapat membantu keluarga berkenaan.


Menceritakan semula kejadian, Devi (bukan nama sebenar), 30, berkahwin dengan anggota tentera terbabit sejak Disember 2009 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia tiga tahun.



Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin itu, suaminya yang berusia 30 tahun bukan saja bertindak menetak wanita terbabit, malah turut mencederakan ibu mentua yang berusia 56 tahun menggunakan parang.


“Suspek berperangai panas baran dan kuat cemburu selepas anak kami dilahirkan dan dia sering memukul sebelum mengurung saya dalam rumah di ibu negara.


“Dalam kejadian minggu lalu, saya berjaya melarikan diri sebelum pulang ke rumah ibu saya di sini bersama anak tunggal kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediaman ibunya, di sini, semalam.

Devi berkata, dia tidak menyangka suaminya itu sanggup bertindak ganas seperti dirasuk hantu dan melarikan diri bersama anak perempuannya.


Katanya, ketika kejadian hanya dia, ibu dan juga anaknya berada di rumah apabila suaminya memanjat pagar bersama sebilah parang.

Katanya, ibunya yang ketika itu cuba menutup pintu ditumbuk sebelum ditetak lelaki terbabit sehingga mengalami kecederaan di jari telunjuk.


Devi yang cuba melarikan diri dikejar suspek sebelum ditetak di tapak tangan kanannya sehingga menerima 14 jahitan.


Menurutnya lagi, jiran suspek yang cuba membantu diugut dengan senjata api seorang rakan suspek yang menunggu di luar pagar rumah berkenaan.


“Sebelum ini, sejak tiga tahun lalu, sudah lebih 20 laporan polis saya buat terhadap suspek, namun dia tidak pernah ditahan.


“Sebaliknya, dia akan menunjukkan salinan laporan polis kepada saya keesokan harinya (selepas laporan dibuat),” katanya lagi.


Menurutnya, hanya selepas dia membuat laporan polis terbaru membabitkan tindakan suspek mencederakan ibunya baru lelaki itu ditahan di Wangsa Maju dekat Kuala Lumpur semalam.


Bagaimanapun, katanya dia dimaklumkan anggota polis, anak perempuannya masih gagal dikesan berikutan lelaki terbabit enggan bekerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment