Search This Blog

Monday, December 23, 2013

Stor rampasan KDRM meletup, tujuh sekeluarga cemas


SEBUAH lori yang sarat dengan bahan rampasan mercun turut rosak selepas berlaku letupan di stor milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
TUMPAT 22 Dis. - Seolah-olah berada di medan perang. Begitulah situasi yang dialami tujuh sekeluarga di Kampung Kebun di sini selepas rumah mereka digegarkan dengan letupan kuat berpunca daripada sebuah stor milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pengkalan Kubor yang meletup petang ini.
Stor yang terletak tidak sampai 50 meter dari rumah keluarga tersebut menempatkan barangan rampasan KDRM termasuk mercun.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.10 petang itu turut menyebabkan dua wanita sarat mengandung, ibu serta anak saudara mereka yang berumur tiga tahun cedera di bahagian kaki akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
Difahamkan, gegaran tersebut turut dirasai penduduk kampung lain yang rumahnya mereka terletak sejauh lima kilometer. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Menceritakan detik cemas tersebut, mangsa, Nurul Izzah Yaacob, 24, yang sarat mengandung berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di tingkat atas rumah sebelum dikejutkan dengan letupan yang pada mulanya disangkakan datang dari Thailand.
Katanya, selepas letupan bertambah kuat, dia segera memberitahu suaminya, Mohd Arif Abdullah, 30, yang ketika itu berada di dalam bilik di tingkat atas rumah mereka dan mengejutkan seluruh ahli keluarga yang lain supaya menyelamat diri.
Ujarnya, dia kemudian berlari menuruni anak tangga rumah untuk menyelamatkan diri tetapi terjatuh dan mengalami kecederaan di kaki.
"Lebih kurang 10 letupan berlaku menyebabkan debu dan asap memenuhi rumah, tingkap di lapan buah bilik serta ruang tamu turut pecah.
"Anak saudara saya juga luka di kaki selepas terkena kaca ketika menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Che Asiah Mohamed, 59, berkata, kejadian seumpama itu adalah kali pertama berlaku sejak dia dan keluarga tinggal di rumah berkenaan lebih 30 tahun lalu.
"Ketika letupan berlaku, saya sedang berehat di dalam bilik. Pada mulanya bunyi letupan itu seperti bunyi mercun, kemudian ia semakin kuat," katanya yang turut cedera akibat terjatuh.
Sementara itu, Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacub ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131223/je_02/Stor-rampasan-KDRM-meletup-tujuh-sekeluarga-cemas#ixzz2oHxf1YF7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment