Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Rodok perut lepas ditegur


Arau: Seorang lelaki yang juga adik kepada pemilik sebuah kedai makan, di sini, koma akibat cedera parah di belakang badan selepas dirodok menggunakan pisau pemotong sayur oleh seorang pekerja lelaki warga Thailand, malam kelmarin.

Kejadian berlaku di Kampung Guar Sanji, di sini, kira-kira jam 9.15 malam selepas suspek berusia 19 tahun terbabit dipercayai naik angin selepas ditegur mangsa supaya membuat kerja.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berusia 28 tahun sedang membersihkan dalam kedai makan yang baru ditutup bersama dua lagi pekerja di situ termasuk suspek yang kebetulan memegang sebilah pisau sepanjang 10.1 sentimeter.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dirodok sebanyak tiga kali di bahagian belakang oleh suspek.


Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur suspek agar membersihkan kedai yang kemudian mengundang rasa marah lelaki warga Thailand berkenaan.


“Sebaik mendengar teguran daripada mangsa yang dikenali sebagai ‘Sham’ yang juga adik kepada pemilik kedai makanan berkenaan, suspek meluru ke arah mangsa yang ketika itu membelakanginya sebelum merodok bahagian belakang mangsa sehingga rebah.

“Mangsa yang dalam kesakitan kemudian cuba menyelamatkan diri sebelum menjerit meminta pertolongan,” katanya.


Menurutnya, salah seorang pekerja dan orang ramai yang mendengar jeritan mangsa kemudian membantu lelaki terbabit sebelum menahan suspek yang ketika itu didapati sudah mula hilang pertimbangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/22

No comments:

Post a Comment