Search This Blog

Wednesday, December 11, 2013

Riduan diperintah bela diri rogol kanak-kanak 12 tahun


KOTA KINABALU 11 Dis. - Seorang bekas pengurus sebuah restoran diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada Februari lalu yang kemudian didakwa dinikahinya.
Hakim Ummu Khatom Abd. Samad memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Riduan Masmud, 40.
Mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 16 Disember ini untuk perbicaraan di peringkat pembelaan.
Riduan yang tidak diwakili peguam didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun enam bulan di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di Inanam pada pukul 10 pagi, 18 Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang telah mengemukakan sebanyak 19 saksi sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Liputan kes Riduan mendapat perhatian umum apabila mahkamah pada 21 Mei lalu dimaklumkan bahawa tertuduh telah mengahwini mangsa tersebut dan salinan sijil perkahwinan turut diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh mempunyai seorang lagi isteri dan empat anak berusia antara dua dan 17 tahun.
Peguam Kanan Persekutuan, Jamil Aripin ketika prosiding sebutan kes terhadap Riduan pada 6 Jun lalu memaklumkan bahawa dakwaan terhadap tertuduh tetap diteruskan walaupun kedua-duanya telah berkahwin.
Selain tuduhan rogol, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan kerana cuba memberi suapan masing-masing RM5,000, RM2,000 dan RM3,000 kepada bapa mangsa sebagai dorongan supaya mangsa menarik balik laporan polis bahawa tertuduh telah merogolnya.
Bagi kes ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131211/ma_06/Riduan-diperintah-bela-diri-rogol-kanak-kanak-12-tahun#ixzz2njqcBDjp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment