Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Peserta ‘paintball’ rebah mulut berbuih


Ipoh: Seorang peserta pertandingan Pesta Paintball Perak 2013 yang diadakan di padang Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini, meninggal dunia apabila secara tiba-tiba rebah ketika berehat bersama beberapa rakan sepasukannya, kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Mangsa, Ghazali Nazrul Zulkafli, 33, yang beralamat di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan, di sini, meninggal dunia selepas mengadu sakit dada dan muntah, sebelum secara tiba-tiba rebah ke tanah dengan mulut berbuih.


Rakan sepasukannya, Mohd Zulhusni Mohd Mokhtar, 27, berkata, ketika kejadian dia bersama arwah dan beberapa rakan lain sedang berehat untuk makan tengah hari selepas tamat permainan pada sesi pagi.



“Ketika kami berehat, arwah tiba-tiba mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum muntah serta rebah ke tanah dengan mulut berbuih-buih, selain badannya seperti kekejangan.


“Panik dengan keadaan itu, kami segera mendapatkan bantuan kecemasan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjadi pasukan perubatan untuk pertandingan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, Ghazali kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk mendapatkan rawatan, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira sejam kemudian.

“Kami tidak sangka apa yang berlaku terhadap arwah kerana dia seorang yang aktif dalam kegiatan sukan meninggal dunia akibat serangan jantung.


“Sebelum ini, arwah tidak pernah menceritakan dia menghidap sebarang penyakit, malah arwah sudah lama mewakili pasukan kami dengan menyertai pelbagai pertandingan sukan antaranya futsal, bola sepak dan paintball,” katanya.

Mohd Zulhusni berkata, sebelum kejadian, arwah sempat bermain satu perlawanan paintball bersama pasukannya dan susulan kejadian itu, mereka mengambil keputusan menarik diri daripada pertandingan itu.


Katanya, arwah meninggalkan seorang isteri bersama dua anak perempuan berusia satu dan dua tahun.


Jenazahnya yang dituntut keluarga selepas bedah siasat selesai, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap di sini, pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment