Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Pernah jatuh main kereta api


Georgetown: Kanak-kanak yang terjatuh dari ‘Euro Wheel’ di tapak Pesta Pulau Pinang dan kini koma dikatakan pernah terjatuh di tangga permainan kereta api dua hari lalu ketika cuba menaiki permainan berkenaan.

Seorang penyelia pesta berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chan berkata, kanak-kanak terbabit pernah cuba menaiki keretapi ketika permainan itu sedang bergerak, namun dapat dihalang operator bertugas.


Menurutnya, mengenai kejadian yang berlaku awal pagi semalam, penjaga di kawasan berkenaan langsung tidak menyedari yang kanak-kanak itu berada dalam roda berpusing berkenaan dan hanya terdengar bunyi kuat terjatuh.



“Ketika itu ada dua petugas dan mereka memang tidak sedar kanak-kanak itu berada dalam roda berpusing berkenaan dan keadaan ketika itu agak gelap kerana operasi pesta dihentikan.


“Petugas di kawasan ini memang mengenali kanak-kanak terbabit yang mengikut bapanya berniaga air di kawasan ini,” katanya.


Menurutnya, bapa kanak-kanak itu mendakwa anaknya jatuh dari roda berpusing yang paling tinggi iaitu mencecah 30 meter, namun pihaknya beranggapan ia mungkin tidak benar.

“Kita sendiri tidak tahu dari kedudukan roda berpusing mana yang kanak-kanak terbabit jatuh kerana keadaan ketika itu agak gelap dan kita menunggu siasatan terperinci dijalankan.


“Saya sendiri sudah memberi keterangan berhubung kejadian itu kepada polis dan menunggu siasatan dilakukan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian ini.

Menurutnya, roda berpusing itu sudah 10 tahun beroperasi di Pesta Pulau Pinang dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kemalangan berlaku.


“Setakat ini, kita masih menjalankan operasi dan tidak diminta untuk memberhentikan operasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment