Search This Blog

Monday, December 23, 2013

Penolong jurutera wanita JPS didakwa terima rasuah


KOTA BHARU 23 Dis. - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah pada tahun lalu.
Wanita berkenaan yang juga Penolong Jurutera Gred N29, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Machang, Khafasliza Shafii, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Yusuff Yunus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Wan Zubaidah Wan Abdullah melalui akaun Bank Islam pada pukul 4.38 petang, 16 Disember 2012 di Bank Islam, Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Pemberian wang tersebut dikatakan mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai pegawai penyelia kerja bagi kerja-kerja kecil menaik taraf sistem saliran serta kerja-kerja berkaitan di Kampung Panggung, Machang.
Khafasliza dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131223/ma_04/Penolong-jurutera-wanita-JPS-didakwa-terima-rasuah#ixzz2oI6SmrC2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment