Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Pengawai imigresen mengaku tak bersalah terima rasuah


SEREMBAN 3 Dis. - Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,600, pada Julai tahun lepas.
Tertuduh, K.Vikneswaran, yang bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Vikneswaran, 32, dituduh menerima wang daripada R.Lakshumana Rao sebanyak RM3,600 untuk melepaskan dua lelaki warga India yang disyaki menggunakan dokumen perjalanan palsu di sebuah restoran makanan segera di Nilai, dekat sini kira-kira pukul 12.37 tengah malam pada 24 Julai 2012.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya P.Sevan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, semalam.
Justeru itu, beliau memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguam tertuduh, A.Ramasy meminta mahkamah memberikan kadar ikat jamin lebih rendah berikutan tertuduh adalah seorang penjawat awam yang bergaji rendah.
Nursinah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 16 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131203/ma_05/Pengawai-imigresen-mengaku-tak-bersalah-terima-rasuah#ixzz2mSSosu9C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment