Search This Blog

Sunday, December 29, 2013

Nyaris maut tak sedar rumah terbakar ketika sambut Krismas

Nyaris maut tak sedar rumah terbakar ketika sambut KrismasSeorang penduduk cuba memadamkan kebakaran yang meranapkan rumah dan kedai di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka Tengah, kelmarin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan 

Melaka Tengah: Kemeriahan Krismas pudar bagi tiga keluarga membabitkan tujuh penghuni di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini, selepas rumah mereka dan sebuah kedai musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran bermula kira-kira jam 9 malam itu hampir meragut nyawa kira-kira 20 tetamu yang menghadiri rumah terbuka seorang penduduk.

Fabian Vellu, 25, asyik meraikan tetamu yang kebanyakan adalah jirannya sempena sambutan Krismas.


“Awalnya saya terdengar seperti bunyi kaca pecah dan sebaik keluar, saya lihat kediaman kosong di kiri rumah saya terbakar.

Api marak dengan pantas

“Saya pantas menghubungi bomba dan ketika membuat panggilan, api menyambar rumah saya dalam sekelip mata.

“Keadan menjadi kelam-kabut dan saya menjerit meminta tetamu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.
Fabian yang bergegas menyelamatkan diri hanya mampu melihat rumahnya dan rumah kosong serta kedai bersebelahan hangus dalam tempoh beberapa minit.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 malam.

Beliau berkata, sepasukan 23 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer Keroh tiba di lokasi kejadian 21 minit kemudian.

“Ketika itu, kebakaran sudah memusnahkan hampir keseluruhan dua rumah dan kedai terbabit.

“Anggota bomba menghadapi kesukaran memasuki lokasi berikutan jalan sempit, selain sesak kerana sebahagian besar penduduk sibuk menghadiri majlis.

“Api dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.48 malam dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment