Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

Nyaris mati rentung


Maran: “Nasib baik saya sempat merangkak keluar dan menarik adik sepupu selepas kereta terbalik kerana tidak lama selepas itu, berlaku satu letupan dan membuatkan kereta saya hangus dijilat api.

‘Jika saya terlambat beberapa saat, pasti kami terkorban,” kata Mohd Safwan Mohd Rasul, 24, yang nyaris maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 165.8 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Mohd Safwan bersama sepupunya, Mohd Rizki Mohammad, 9, yang dalam perjalanan ke pulang ke kampung mereka di Pekan hanya cedera ringan di muka serta jari.



Mohd Safwan berkata, sebelum kejadian dia berkonvoi bersama ibu dan bapa saudaranya yang menaiki sebuah lagi kereta dan mereka bertolak dari Kajang, Selangor jam 8 malam, namun kereta bapa saudaranya jauh di depan.

Setibanya di tempat kejadian, kereta Perodua Viva dipandunya tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan serta berpusing sebelum terbalik.

“Selepas kereta terbalik, saya melihat bahagian depan kereta terbakar lalu terus keluar menerusi tingkap kereta dan pergi ke bahagian penumpang depan untuk menarik adik sepupu yang masih tergamam.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana pada fikiran saya ketika itu hanya mahu menyelamatkan diri.

Walaupun sedih, saya bersyukur kerana kami terselamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, pada mulanya ibu dan bapa saudaranya tidak menyedari kejadian itu kerana jauh di depan, namun mereka berpatah balik selepas Mohd Safwan memaklumkan kejadian itu.


Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Maran untuk menerima rawatan.

Kejadian itu menyebabkan laluan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan sesak satu kilometer sebelum kembali lancar selepas sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran tiba di tempat kejadian dan memadam api.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment