Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

MyKad palsu: 13 suspek dipenjara


PETALING JAYA 3 Dis. - Tiga belas tertuduh warga Indonesia termasuk empat wanita, masing-masing dihukum penjara antara dua bulan dan sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki MyKad palsu atau milik orang lain.
Enam daripada mereka dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Nazri Omran manakala bakinya didakwa di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.
Mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 23 November lalu.
Mohd. Nazri menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas Firman Mohd. Yunus, 18; Masud Kahamang, 36; Bakat Kamiran, 26, dan Kamil Idris, 26, manakala Musdalifah Yusup, 32, dijatuhi hukuman penjara empat bulan.
Bagaimanapun Ramlah Osman, 35, hanya dijatuhkan hukuman penjara dua bulan atas alasan tertuduh sedang mengandung empat bulan.
Sementara itu, Elena menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Mulianto Sida, 22; Matrami Ramli, 22; Haeruddin Arifin, 28; Rustam Nordin, 22, dan Rahmawati Abdul Rahim Suma, 43, manakala Yunus Jaya, 41, dan Busrul Basiran, 28, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan SMI, Taman Subang Mas, Subang Jaya, dekat sini antara pukul 12.01 tengah malam dan pukul 3 pagi, 23 November lalu.
Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pembantu restoran, pekerja kilang dan bekerja sendiri itu adalah mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, Mohd. Zaidi Ibrahim dan Pegawai Pendakwa JPN, Norsheila Jamalluddin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131204/ma_02/MyKad-palsu-13-suspek-dipenjara#ixzz2mST93LnE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment