Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Militan Indonesia ditangkap di ladang babi


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Pengganas Indonesia, Fadli Sadama Mahmudin, 29, yang meloloskan diri semasa rusuhan di Penjara Tanjung Gusta di Medan, Indonesia pada 11 Julai lalu, berjaya ditangkap Polis Diraja Malaysia di ladang ternakan babi di Puchong, Selangor pada 19 November lalu.
Fadli Sadama yang mempunyai rangkaian kerja dengan anggota militan Jemaah Islamiah (JI) ditangkap ketika bersembunyi di ladang ternakan itu menerusi operasi Op Cantas Khas bagi memburu pendatang asing tanpa izin.
Menurut sumber, suspek turut mempunyai beberapa nama lain iaitu Can, Zaid, Fernando, Buyung dan Ade menyusup masuk ke Malaysia menggunakan bot nelayan dan bersembunyi di sebuah rumah pekerja ladang babi tersebut.
"Rusuhan di Penjara Tanjung Gusta, Medan yang menyebabkan ratusan banduan melarikan diri pada Julai lalu, dipercayai dirancang oleh Fadli bersama rakannya yang lain.
"Ketika diburu di Indonesia, Fadli dan lima individu lain yang dipercayai anggota JI rangkaian Medan pernah merompak sebuah kedai emas dan melarikan sejumlah besar emas pada 13 September lalu.
"Selepas itu, dia menyusup ke negara ini melalui jalan laut dan bersembunyi di sekitar Puchong bersama (PATI) Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan PDRM mengesan kemungkinan empat banduan militan Indonesia yang berjaya meloloskan diri dari Penjara Tanjung Gusta telah menyusup masuk ke negara ini.
Selain Fadli, turut dikesan ialah Abdul Gani Siregar @ Pautan @ Robi, 28; Nibras @ Arab @ Wawan, 22, dan Agus Sunyoto @ Syafaruddin, 25, yang terlibat dalam aktiviti keganasan.
Fadli sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana merompak dan terlibat dalam merancang rompakan RM139 juta bank CIMB Niaga di Medan, Sumatera pada 18 Ogos 2010.
Dia kemudian ditahan ketika menaiki bas ke Johor pada 13 Oktober 2010, bersama dua pucuk pistol yang dipercayai dibeli di Sungai Golok, Kelantan. Senjata api itu cuba diseludup ke negara asalnya untuk kegunaan aktiviti keganasan JI.
Walaupun sekadar berkelulusan sekolah menengah atas di Indonesia, Fadli memiliki kemahiran teknologi maklumat yang tinggi dan kepakaran itu menjadikannya seorang pengganas berbahaya dan licik.
Menurut sumber, Fadli diusir ke Indonesia pada 27 November lalu dan kini di bawah tahanan pasukan polis Republik Indonesia (Polri).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131204/je_02/Militan-Indonesia-ditangkap-di-ladang-babi#ixzz2mSWIngc1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment