Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

Menteri cedera disamun


KUCHING 16 Dis. - Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan negeri, Liwan Lagang berdepan dengan detik cemas setelah disamun dan kenderaannya dilarikan dua lelaki bersenjatakan pisau di pekan Kota Sentosa di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, Liwan, 55, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga turut cedera di paha dan lutut kanan, manakala ibu jarinya luka setelah bergelut dengan suspek.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Pauzi Bujang berkata, insiden cemas itu berlaku selepas mangsa menghantar anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) berdekatan pekan Kota Sentosa untuk pulang ke Bintulu.
"Selepas menghantar anaknya, mangsa singgah ke pekan Kota Sentosa untuk membeli surat khabar sebelum didatangi dua lelaki yang tidak dikenali ketika hendak keluar dari kenderaan.
"Kedua-dua suspek termasuk seorang daripadanya memakai topeng kemudian mengacukan pisau ke arah mangsa. Mangsa cuba menyelamatkan diri lalu bergelut sehingga cedera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pauzi berkata, dua penjenayah terbabit kemudian melarikan diri dengan kenderaan mangsa iaitu jenis Toyota Fortuner.
"Mangsa gagal mengecam wajah kedua-dua suspek kerana kejadian berlaku terlalu cepat," katanya sambil memberitahu, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131217/je_05/Menteri-cedera-disamun#ixzz2nnlrRnih
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment