Search This Blog

Wednesday, December 18, 2013

Mengaku salah kejar anak sambil acu pisau

 SINAR HARIAN
18 Disember 2013
KOTA BHARU - Seorang pendawai elektrik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengejar sambil mengacu pisau terhadap anak perempuannya, 12 Disember lalu.

Zaidi Johari,42, didakwa melakukan kesalahan itu pada Noor Baiti Ithrah, 20, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah di Kampung Aril Pauh Lima di sini.

Kejadian pada jam 10 pagi itu, menyebabkan Noor Baiti membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh sekali gus menyebabkan bapanya itu dihadapkan ke mahkamah.

Pada prosiding semalam, tertuduh tidak menafikan dakwaan ke atas dirinya dengan alasan dia mempunyai sebab untuk bertindak demikian.

Namun, perbuatannya itu ditegur Majistret, Nik Habri Muhamad yang menerangkan kepada tertuduh perbuatan menasihati anak dengan perlakuan tertuduh itu adalah perkara yang berbeza.

“Pada pandangan saya, sangat payah untuk seseorang dalam kalangan ahli keluarga membuat laporan ke atas anggota keluarga sendiri kecuali perbuatan itu berbekas di hatinya.

“Dengan ketidakhadiran seorang pun keluarga kamu termasuk isteri, saya berpendapat kamu dibenci oleh keluarga kamu sendiri. Saya mohon maaf kalau telahan saya itu salah,” katanya.

Hukuman terhadap tertuduh, bagaimanapun, ditangguhkan kerana mahkamah mahu mendengar keterangan impak daripada mangsa terlebih dahulu.

Kes bersambung 8 Januari depan. Sementara, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan syarat jaminan itu dibuat oleh isteri dan anak-anak tertuduh sahaja.

Pengadu adalah anak kandungnya dan dia masih menanggung lima lagi anak angkatnya. Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

No comments:

Post a Comment