Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Mayat lelaki gantung diri timbul

Kuala Lumpur: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dipercayai warga tempatan ditemui terapung di permukaan Sungai Klang berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Menurut sumber, mayat berkenaan ditemui orang awam yang kebetulan melalui jalan berhampiran tempat kejadian pada jam 4 petang sebelum menghubungi polis dan bomba.

“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung dan hampir reput itu, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari.
“Si mati lengkap berbaju kemeja merah dan berseluar panjang hitam. Malah, polis turut menemui tali nilon pada leher mangsa dipercayai digunakan untuk menggantung dirinya.

“Mangsa disyaki menggantung diri pada jejambat berhampiran sungai berkenaan sebelum tali yang digunakan terputus. Mangsa terjatuh ke dalam sungai dan timbul semula selepas beberapa hari,” katanya.

Sumber berkata, dengan bantuan pasukan bomba, mayat mangsa berjaya dibawa naik, namun pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen peribadi pada pakaiannya.
Foto
MAYAT hampir reput ditemui terapung di Sungai Klang.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, di sini, untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment