Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

Mayat anak kapal penunda tongkang ditemui terapung


Pegawai perubatan memeriksa mayat, Paulus Ajang yang dibawa anggota polis ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat, di Kuching, Sarawak, semalam.
SANTUBONG 16 Dis. - Tanda tanya tentang kehilangan seorang anak kapal penunda tongkang yang dilaporkan sejak kelmarin, akhirnya terjawab setelah mayatnya ditemui terapung di Teluk Bandung Damai di sini hari ini.
Mayat, Paulus Ajang, 45, ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira pukul 10 pagi di kawasan 7.2 kilometer dari Pantai Santubong.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, kapten kapal tersebut hanya menyedari anak kapalnya yang berketurunan Kayan itu hilang dan kemungkinan terjatuh ke laut pada pukul 8 malam kelmarin.
"Kapten kapal berkenaan segera melaporkan kehilangan anak kapalnya itu kepada polis dan operasi mencari serta menyelamat telah dijalankan sejak pukul 4.30 petang semalam.
"Polis telah meminta bantuan Maritim Malaysia untuk membantu operasi tersebut kerana lokasi kejadian terletak di tengah laut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Roslan Bek berkata, operasi yang turut dibantu oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya itu walau bagaimanapun terpaksa dihentikan pada pukul 6 petang semalam berikutan cuaca semakin gelap.
Beliau berkata, operasi menyelamat disambung semula pada pukul 8 pagi ini dan mayat mangsa berjaya ditemui selepas dua jam.
Katanya, semasa ditemui, mayat mangsa masih lengkap berpakaian.
"Mayat Paulus telah dihantar ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching untuk dibedah siasat," katanya.
Dalam pada itu, Roslan Bek menasihatkan semua pengendali kapal supaya menitik beratkan aspek keselamatan memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131217/je_02/Mayat-anak-kapal-penunda-tongkang-ditemui-terapung#ixzz2nni10lPd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment