Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Mangsa culik dibebas tanpa pembayaran wang


AN Wei Chang melambai tangan sebaik sahaja selamat tiba di negara asalnya Taiwan pada pukul 1.16 petang semalam.
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pembebasan wanita warga Taiwan yang menjadi mangsa culik kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom sejak 15 November lalu adalah hasil kejayaan rundingan tiga pihak bersama penculik terbabit tanpa melibatkan sebarang pembayaran wang.
Menurut sumber, tiga pihak yang melakukan rundingan bersama kumpulan penculik itu bagi membebaskan An Wei Chang, 58, ialah polis Filipina, Malaysia dan Taiwan.
"Proses mendapatkan pembebasan tebusan dibuat secara taktikal dengan penuh hati-hati dan penuh kesabaran.
"Hinggalah akhirnya penculik bersetuju dengan rundingan yang dilakukan bersama polis Filipina, Malaysia dan Taiwan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Wei Chang diselamatkan oleh pihak keselamatan marin Filipina kira-kira pukul 4 petang. Kumpulan penculik telah membebaskan mangsa tebusan di kawasan Barangay Liban, Talipao, Sulu.
Dalam kejadian pada 15 November lalu, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati sementara Wei Chang diculik kumpulan terbabit.
Semasa kejadian, mereka berada di sebuah calet yang terletak di atas air di pulau tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki bersenjata.
Dalam pada itu, Wei Chang telah selamat tiba di negara asalnya menaiki pesawat dari Manila, Filipina pada pukul 1.16 petang hari ini.
Dia kemudian terus dibawa ke ibu pejabat polis Taiwan bagi menghadiri sidang akhbar bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Taiwan pada pukul 3 petang.
Sementara itu, memetik satu rakaman video ucapan Wei Chang ketika dibawa keluar dari sebuah hospital di Jolo, dia sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak berkuasa Filipina.
"Saya hanya mahu menyatakan amat menghargai pihak marin Filipina yang memberi pertolongan amat besar, terima kasih banyak-banyak," ujarnya ringkas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131222/dn_08/Mangsa-culik-dibebas-tanpa-pembayaran-wang#ixzz2oBF55MT9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment