Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Majistret tegur kertas siasatan lewat siap


CHE Rosli Che Daud dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI
TUMPAT 3 Dis. - Mahkamah Majistret di sini hari ini menegur kelewatan kertas siasatan disiapkan menyebabkan kes terhadap seorang anggota tentera yang didakwa membunuh seorang kerani sekolah menggunakan bahan letupan terpaksa ditangguhkan beberapa kali sejak Ogos lalu.
Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri berkata, kertas siasatan itu penting untuk memastikan kes bunuh Mohd. Yusrizal Mat Zain yang dihadapi oleh tertuduh, Che Rosli Che Daud, 29, dapat diteruskan.
Beliau membuat teguran itu selepas Pegawai Pendakwa, Inspektor Firli Fairulyzwan Arias Yahaya yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan, kertas siasatan baru dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk diteliti.
"Pegawai siasatan mesti tahu pergerakan kertas siasatan ini sebab apa, kes ini sudah beberapa kali ditangguhkan,'' kata Ahmad Adha.
Beliau kemudian menetapkan 7 Januari ini sebutan semula kes terhadap Che Rosli yang merupakan anggota tentera berpangkat sarjan dari Batalion 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Tertuduh didakwa membunuh Mohd. Yusrizal, 32, di hadapan sebuah rumah di Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat di sini antara pukul 10 pagi dan 11 pagi, 11 Ogos lalu.
Che Rosli yang diwakili peguam Afiqah Amran, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 11 Ogos lalu, kerani terbabit yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya.
Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu dan dendam kerana isteri suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang anggota keluarga mangsa yang juga anggota pasukan keselamatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131204/ma_03/Majistret-tegur-kertas-siasatan-lewat-siap#ixzz2mSSz7Osm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment