Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Lori bawa cip mikro dilarikan

Lori bawa  cip mikro dilarikanPolis menjalankan siasatan ke atas lori yang ditemui selepas dilarikan di FIZ di Bayan Lepas, kelmarin. 

Balik Pulau: Sebuah lori dengan muatan 22 kotak cip mikro dilaporkan hilang di luar sebuah kilang elektronik di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata kehilangan lori itu disedari pemandunya pada jam 9.30 malam sejurus keluar dari kilang berkenaan selepas mengambil dokumen.

Katanya, pemandu itu dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum singgah di kilang berkenaan.

“Lori itu baru tiba dari Ipoh dan diletakkan sebentar di luar kilang kerana pemandunya mahu mengambil dokumen. Tetapi selepas dia keluar, kenderaan itu didapati telah hilang,” katanya di sini, semalam.

Polis kemudian mengesan lori yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) itu tidak jauh dari lokasi kejadian, pada jam 11.30 malam.

Fah Hin berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati 10 daripada 22 kotak cip mikro, bernilai kira-kira RM800,000, yang dibawa pemandu lori itu hilang.

Tahan pemandu lori
Berikutan itu, katanya, pemandu lori berusia 40-an berkenaan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kami menahan lelaki ini untuk membolehkan kes disiasat lebih lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan jika didapati bersalah.

“Kami sedang mengesan suspek utama rompakan ini dan sebahagian besar cip yang dipercayai telah dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan lain,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di talian 04-8662222 atau datang ke mana-mana balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment