Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Longgokan sampah sebabkan kesesakan di MMR2

Longgokan sampah sebabkan kesesakan di MMR221 Disember 2013

Para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkan longgokan sampah di Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Gara-gara Pusat Pemindahan Sampah di Taman Beringin ditutup awal hari ini kerana kerosakan mesin pemampat, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) berhampiran Kepong.
 
Longgokan sampah itu menyebabkan kesesakan jalan yang agak teruk di kawasan berkenaan selain penduduk dan pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau tidak menyenangkan.
 
Bernama difahamkan kontraktor sampah melonggokkan sampah yang dikutip mereka di situ kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penutupan pusat tersebut.
 
Sementara itu tinjauan Bernama di situ petang ini mendapati sebahagian besar sampah sudah dibersihkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menerima aduan daripada penduduk.
 
"DBKL akan siasat perkara ini, saya harap penduduk dapat bersabar sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dijalankan," kata Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga tidak dapat memberi jangkaan bila pusat pemindahan sampah itu akan dibuka kembali.
 
Sementara itu, seorang penduduk Gan Chun Wai, 35, berkata beliau menyedari keadaan tersebut pada pukul 8 pagi ketika hendak memulakan perniagaan.
 
"Semasa saya buka kedai saya tengok sudah banyak longgokan sampah yang dibuang di bahu jalan dan kami mengadu kepada DBKL," katanya.
 
Tinjauan Bernama juga mendapati segelintir penduduk mengenakan topeng muka kerana tidak tahan dengan bau busuk daripada saki-baki longgokan sampah di kawasan berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment