Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

Lagi kes serang di sekolah


Los Angeles: Seorang pelajar bersenjatakan senapang patah menembak dan mencederakan dua rakan sekolahnya sebelum bertindak membunuh diri.

Pelajar berkenaan turut melontarkan bom minyak dalam serangan di Sekolah Menengah Arapahoe di Colorado, beberapa kilometer dari kejadian serangan di Aurora tahun lalu dan pertumpahan darah di Columbine pada 1999.

Serangan semalam memaksa ratusan pelajar mengurung diri dalam bilik darjah ketika penyerang berkenaan menyerbu kawasan pekarangan sekolah dengan senapang patah, sambil menjerit nama seorang guru.

Polis yakin pelajar berkenaan mahu membalas dendam terhadap guru berkenaan.

Syerif Araphoe County Grayson Robinson berkata, pelajar itu yang memasuki sekolah menerusi pintu utama selepas tiba dengan kereta mencederakan dua rakan pelajar, termasuk gadis berusia 15 tahun yang terpaksa menjalani pembedahan dan dilapor dalam keadaan tenat.

Siasatan awal menunjukkan serangan itu berpunca daripada tindakan membalas dendam kerana perselisihan dengan guru terbabit.

“Dia tidak cuba menyembunyikan senapang patah yang dibawanya, Memang dia mahu membalas dendam,” kata Robinson.

Polis mengenal pasti pelajar itu sebagai Karl Pierson, 18, yang mayatnya ditemui di perkarangan sekolah.



Dia dipercayai mati selepas menembak dirinya.

Seorang pelajar menceritakan bagaimana dia dan 25 rakannya terpaksa berkurung di dalam kelas mereka sebaik serangan bermula.

“Kami mendengar bunyi kuat tetapi tidak pasti ia bunyi tembakan.

Kami menutup lampu dan mengunci pintu untuk memastikan dia tidak dapat masuk,” kata Colton Powers.

Mereka tidak keluar dari kelas berkenaan sehingga pasukan SWAT polis tiba.

Menurutnya, dia dan rakannya percaya pelajar bersenjata itu cuba mencari pustakawan sekolah berkenaan.


Sekolah itu adalah sebahagian daripada daerah Littleton, tempat terletaknya Sekolah Menengah Columbine yang menyaksikan pertumpahan darah pada 1999 apabila dua pelajar mengamuk dan menembak mati 13 orang.

Kejadian semalam berlaku sehari selepas ulang tahun pertama serangan di Newton, juga tidak jauh dari tempat kejadian, yang menyaksikan seorang pemuda, Adam Lansa menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di Sekolah Rendah Sandy Hook.- AFP

No comments:

Post a Comment