Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Kilang padi Pauh Butut hangus

Kilang padi Pauh Butut hangus
Anggota bomba sukarela membantu memadamkan kebakaran
kilang padi Pauh Butut, semalam.
SINAR HARIAN
22 Disember 2013
BACHOK – Sebuah kilang padi Pauh Butut yang beroperasi sejak 30 tahun lalu, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam.

Pengurusnya, Jaffar Mat Husin, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Jelor, Pasir Puteh dan hanya mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 pagi.

Selepas mendapat berita itu, dia bergegas ke lokasi kejadian ditemani anaknya.

“Saya terkejut dan tak dapat buat apa-apa. Anak yang datang ambil bawa saya ke kilang. Masa tu bomba dah sampai.

“Boleh dikatakan semuanya musnah melibatkan stok padi, beras dan dedak. Anggaran kerugian masih dalam siasatan yang melibatkan semua stok, mesin dan struktur bangunan rosak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jaffar berkata, dia reda dengan dugaan itu dan akan berusaha membina semula kilangnya yang menjadi nadi kepada petani setempat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.02 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Katanya, kekuatan anggota melibatkan lapan anggota Bachok, dua dari Kota Bharu dan 12 anggota bomba sukarela Bachok.
“Kami berjaya mengawal api kira- kira jam 7 pagi dengan dua jentera Bachok dan sebuah 'tanker' dari Kota Bharu.

“Kami perlukan masa yang agak lama untuk mengawal api kerana bahan yang ada dalam premis ini mudah terbakar. Bahan-bahan ini perlu dibawa keluar terlebih dahulu untuk memudahkan proses memadam api sebab air tak akan sampai hingga lapisan bawah padi,” katanya.

No comments:

Post a Comment