Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Ki-moon lawat lokasi kemusnahan Taufan Haiyan



KI-MOON melambai ke arah penduduk Kampung Fatima, Tacloban sambil meminta mereka supaya bersabar menunggu bantuan antarabangsa.


TACLOBAN - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam melawat beberapa buah kampung di tengah Filipina yang musnah dilanda Taufan Haiyan.
Semasa lawatannya, Ki-moon berjanji akan cuba mengumpul dana antarabangsa lebih AS$800 juta (RM2.5 bilion) untuk membantu rantau berkenaan agar kembali pulih.
Sejumlah kanak-kanak yang terselamat daripada taufan berkenaan menyambut Ki-moon dengan menyanyikan lagu Jingle Bells di sebuah sekolah di sini.
Bandar ini merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat Taufan Haiyan yang melanda pada 8 November lalu.
Ki-moon bertepuk tangan dan memberitahu kepada mereka: "Tolong bertahan. Jangan bersedih. Kami datang untuk membantu anda."
Walaupun beliau berada hanya selama dua jam, Ki-moon merupakan pemimpin dunia paling kanan melawat kawasan yang dilanda kemusnahan.
Taufan berkenaan meragut sekurang-kurangnya 6,100 nyawa dengan lebih 1,700 lagi disenaraikan sebagai hilang.
Bencana tersebut turut memusnahkan lebih sejuta kediaman dan menyebabkan seramai 27,000 orang cedera.
Dalam pada itu, kerajaan Filipina menganggarkan kerugian akibat Taufan Haiyan mencecah AS$12.9 bilion (RM41.7 bilion). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2o9A3I2UD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment