Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Kerani curi pakaian dijel 4 hari, didenda


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Gara-gara kesempitan hidup, seorang kerani wanita bertindak mencuri pakaian pelbagai jenama yang kesemuanya bernilai hampir RM500 di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Jumaat lalu.
Hari ini, wanita terbabit, Nursaryanie Sabri, 22, dihukum penjara empat hari dan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Anak sulung daripada 10 adik-beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat satu, Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dang Wangi, di sini kira-kira pukul 6.45 petang, 27 Disember lalu.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Asyraf Rezal Abd. Manan menasihatkan Nursaryanie yang diwakili peguam, Rosmira Embung, supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.
"Kamu sebagai anak sulung sepatutnya lebih bertanggungjawab dan menjadi contoh kepada yang lain. Kesempitan wang bukanlah alasan untuk mencuri.
"Saya bagi hukuman penjara dan hukuman berbentuk kewangan supaya menjadi pengajaran kepada kamu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131231/ma_05/Kerani-curi-pakaian-dijel-4-hari-didenda#ixzz2p79wo3Kk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment