Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Keluarga peragut diberkas di hotel


MOHAN Singh Tara Singh (kanan) menunjukkan cara suspek menggunting rantai emas kanak-kanak dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Dengan menjadikan tapak pesta dan karnival sebagai sasaran lokasi jenayah, sepasang suami isteri menggunakan tiga anak mereka berusia 13 hingga 17 tahun untuk meragut barangan kemas pengunjung.
Kegiatan jenayah keluarga dari Sabah itu, bagaimanapun terbongkar selepas polis menyerbu sebuah hotel mewah di ibu negara dan menahan lima beranak itu pada pukul 7 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sindiket yang didalangi lelaki berusia 52 tahun itu disyaki aktif melakukan kegiatan jenayah tersebut sejak tahun lalu dengan menjadikan pesta dan karnival sebagai tempat operasi jenayah mereka.
"Keluarga ini menjadikan kanak-kanak bawah enam tahun sebagai sasaran. Ketika ibu bapa mangsa sedang leka, mereka akan menghampiri kanak-kanak itu dan menggunting rantai atau gelang emas yang dipakai kanak-kanak itu sebelum melarikan diri.
"Mereka juga dikesan menginap di hotel-hotel mewah di ibu negara bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.
Menurut beliau, pasangan suami isteri itu kemudian akan menjual barangan kemas yang diragut anak-anak mereka daripada mangsa di premis pajak gadai.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM4,640, 12 utas rantai emas, enam utas loket, tiga utas gelang tangan emas dan sepasang subang daripada suspek, dipercayai barangan kemas yang diragut di karnival Jom Heboh di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.
Turut dirampas, 10 keping resit jual beli barangan kemas, lima unit telefon bimbit, satu alat penimbang dan gunting.
"Suspek bersama isterinya berusia 41 tahun dan tiga anak mereka kini ditahan reman sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan," katanya.
Mohan Singh berkata, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 31 kes ragut barangan kemas yang dilaporkan berlaku semasa karnival dan pesta di seluruh negara, susulan penangkapan keluarga ini.
Kes ini, katanya disiasat mengikut Seksyen 379, 392 dan 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, merompak dan memiliki barangan curi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131204/je_07/Keluarga-peragut-diberkas-di-hotel#ixzz2mSVcTuaL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment