Search This Blog

Sunday, December 29, 2013

Kanak-kanak mati lemas belakang rumah



BESUT 28 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui mati lemas selepas dikatakan terjatuh dalam sungai di belakang rumahnya di Bukit Payong di sini semalam.
Mohammad Alif Haikal sebelum itu disedari hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut datuknya, Abdullah Mohamad, 56, anaknya, Mat Ariff, 30-an, kemudian mencari Mohammad Alif Haikal di kawasan kampung tetapi tidak dijumpai sehinggalah menemukan basikal mangsa di tebing sungai itu kira-kira pukul 2 petang.
"Dia dengan bantuan penduduk kemudian mencari di dalam sungai dan menemukan mangsa di kedalaman kira-kira 2.5 meter," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Abdullah, kelmarin, Mat Ariff ada menceritakan kepada keluarganya tentang mimpinya bahawa Mohammad Alif Haikal lemas di sungai tersebut.
"Namun tidak sangka pula Mohammad Alif Haikal benar-benar mati lemas di sungai yang terletak kira-kira 120 meter di belakang rumah kami.
"Malah tempat anaknya mati itu sama seperti dalam mimpinya. Sebelum ini pun, dia (Mat Ariff) selalu menasihatkan anak-anaknya menjauhkan diri dan tidak bermain di kawasan anak sungai itu," katanya.
Dalam kejadian tersebut, Mohammad Alif Haikal hilang selepas dikatakan tergelincir di sungai berkenaan ketika bermain basikal seorang diri tanpa disedari oleh kedua-dua ibu bapanya kira-kira pukul 11 pagi.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payong malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131229/je_01/Kanak-kanak-mati-lemas-belakang-rumah#ixzz2opu9YPuH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment