Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

Jurukimpal mengaku rompak


Kota Bharu: Akibat melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pedang dan parang di sebuah butik pengantin tahun lalu, seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sembilan sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mat Zainudin Mansor, 29, mengaku bersalah terhadap tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh didakwa di mahkamah pada 24 September 2013.



Mengikut pertuduhan tertuduh bersama tiga orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan menggunakan pedang dan parang terhadap terhadap Nur Hanani Hanaffi, 21, dan melarikan enam set rantai leher aksesori pengantin, 10 set kerongsang, satu set subang berlian dan satu loket berlian.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Ena Beauty Centre, Lot 6484, Bangunan Hj Ab Halim, Hutan Kuin, Lebuhraya Machang-Tanah Merah, Machang pada jam 6.45 petang, 2 Disember 2012.


Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di tempat kerjanya, tertuduh masuk ke dalam kedainya.

Apabila mangsa bertanya kepada tertuduh hendak apa, tertuduh bertindak mengambil telefon bimbit mangsa sebelum tiga lelaki yang bersenjatakan pedang dan parang masuk ke dalam kedai berkenaan..


Salah seorang suspek bertindak mengacukan pedang ke arah mangsa sambil mengarahkan mangsa supaya tidak bergerak.

Mangsa melihat kesemua suspek bertindak menggeledah tempat simpanan aksesori dalam almari dan bilik tukar pakaian pengantin sebelum mengambil barang dan melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Waja.


Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya selain perlu menyara keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

No comments:

Post a Comment