Search This Blog

Sunday, December 29, 2013

Jaga panik diugut bunuh


Seremban: Seorang pengawal keselamatan berdepan detik mencemaskan apabila diugut bunuh tiga perompak yang menceroboh masuk Wisma Hwa Lian, Jalan Zamrud 6, Taman Koop, di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Mangsa mahu dikenali Raja, 63 berkata, ketika kejadian, dia sedang berkawal di tingkat satu di wisma berkenaan sebelum terdengar pintu hadapan diketuk.

Katanya, sejurus membuka pintu terbabit, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh masuk bangunan itu dan suspek mengugutnya supaya tidak membuat bising.

“Dalam ketakutan saya terpaksa mendiamkan diri dan suspek menyuruh membawa mereka ke beberapa pejabat di semua tiga tingkat di wisma ini.

“Bimbang keselamatan diri selepas diugut bunuh saya terpaksa memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Raja berkata, selepas membawa masuk perompak itu ke sebuah pejabat di tingkat dua, seorang suspek mengikat kaki dan tangannya sebelum memasukkannya ke dalam sebuah bilik.

“Selepas itu, mereka menceroboh semua pejabat di wisma dan mengambil barang berharga, tetapi saya tidak tahu barang apa diambil.

“Cuma ketika mereka melarikan diri kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam), saya ternampak beg dibawa suspek dipenuhi barang,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

No comments:

Post a Comment