Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Ibu, anak maut dirempuh van


Kereta yang dinaiki tujuh sekeluarga remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 3 Dis. - Kegembiraan tujuh sekeluarga bercuti di negeri ini berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran Bayan Mutiara di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.30 petang, kereta Proton Wira dinaiki keluarga dari Sungai Petani, Kedah itu dirempuh sebuah van pekerja yang terbabas dari arah bertentangan.
Akibat rempuhan berkenaan, mangsa, Saodah Hashim, 48, dan anaknya, Nazirul Afif Mohd., 11, maut manakala lima yang lain cedera.
Difahamkan ketika kejadian, sebuah van kilang dari arah bertentangan menghala ke Bayan Lepas hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kereta dipandu adik Saodah, Mohd. Firdaus, 24.
Berikutan rempuhan itu, Nazirul Afif dikatakan tercampak keluar manakala yang lain tersepit di dalam kenderaan dinaiki mereka.
Difahamkan tujuh sekeluarga itu berasal dari Pantai Merdeka, Kedah datang bercuti ke negeri ini sempena musim cuti sekolah.
Mohd. Firdaus dan dua anak Saodah, Mohd. Khairul Nizar, 22, dan Sazafiza, 16, serta pemandu van kilang Muhd. Nurfaidhi Alias, 25, cedera parah manakala ibu Saodah, Salmah Hashim, 64, dan seorang lagi anak Saodah, Mohd Naufal, 4, cedera ringan.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Jalan Perak, Kamaruzi Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 3.40 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik sahaja tiba, kita dapati mayat seorang kanak-kanak lelaki di atas jalan raya berhampiran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dan siasatan awal mendapati kanak-kanak itu tercampak keluar daripada kereta dinaikinya.
"Pasukan bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dijalankan berhubung nahas berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131204/dn_18/Ibu-anak-maut-dirempuh-van#ixzz2mSWytS7P
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment