Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Hutang RM5,000 jadi RM15,000


Oleh FIRDAUS SAHAT
Kuala Lumpur: Memberi pinjaman dengan hanya menandatangani borang perjanjian kosong kepada pekerja kilang. Itu antara taktik terbaru beberapa syarikat pinjaman wang di ibu kota untuk memeras peminjam bagi mendapatkan keuntungan mudah.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) Samsudin Mohamad Fauzi berkata, beberapa syarikat pinjaman wang sudah dikenal pasti melakukan perbuatan itu.


“Mereka syarikat yang berlesen. Namun cara memberikan pinjaman sama seperti along. Baru-baru ini, 17 pekerja sebuah syarikat automotif tampil berjumpa saya kerana terpedaya dengan beberapa syarikat ini.

“Syarikat terbabit menyasarkan pekerja kilang dan memberi pinjaman dengan hanya menandatangani beberapa dokumen perjanjian tidak lengkap. Selepas meminjam contohnya sebanyak RM5,000, dokumen terbabit dipalsukan dan angka pinjaman ditingkatkan kepada RM10,000 hingga RM15,000.


“Malah, mangsa juga diperdaya apabila syarikat terbabit menggunakan dokumen palsu dan membawa kes berkenaan ke mahkamah. Akhirnya, semua akaun simpanan mangsa dibekukan peguam syarikat terbabit. Ini satu penganiayaan dan penipuan,” katanya.


Sehubungan itu, Samsudin berkata PKP membawa semua mangsa membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan.

“Hari ini (semalam), seramai lapan peminjam tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan selebihnya bakal melakukan perkara sama tidak lama lagi.


“Mereka membuat laporan polis kerana ditipu dan terpedaya dengan syarikat terbabit. Dalam masa sama, syarikat pinjaman wang itu memanipulasi borang perjanjian. Mereka juga tidak menyerahkan salinan dokumen itu kepada peminjam.



“Berbekalkan dokumen palsu itu, mereka mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sehingga menyebabkan akaun simpanan peminjam dibekukan. Bayangkan, bagaimana mangsa mahu menyara keluarga jika wang simpanan tidak dapat dikeluarkan? “Syarikat terbabit bijak menggunakan undang-undang dan mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tidak mampu mengupah peguam untuk membela mereka di mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/22

No comments:

Post a Comment