Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Heroin RM1.38 juta dirampas


Mohd. Shukri Dahlan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Shah Alam, Selangor, semalam. - utusan/MOHD. SHAHARANI SAIBI
SHAH ALAM 3 Dis. - Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai markas selepas menyerbu kediaman itu dan merampas 37 kilogram heroin bernilai RM1.38 juta di Ara Damansara, Petaling Jaya, baru- baru ini.
Dalam serbuan pada 28 November lalu itu, turut dirampas adalah wang tunai, barang kes dan kenderaan yang kesemuanya bernilai lebih RM500,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketika serbuan di rumah tersebut, lima lelaki termasuk seorang jurulatih bola sepak amatur sedang leka memproses dadah.
"Susulan serbuan itu polis menyerbu beberapa lokasi di Puchong, Cheras dan Sentul bagi mengesan saki baki anggota sindiket itu.
"Dalam serbuan susulan itu polis menahan lima lagi suspek termasuk sepasang suami isteri dan dua lelaki warga India yang merupakan ahli sindiket tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, lima daripada suspek yang berusia antara 22 hingga 50 tahun itu pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.
"Polis percaya kegiatan memproses dadah ini bergerak aktif sejak tiga bulan lalu. Dadah yang dirampas itu boleh dijadikan bekalan dalam bentuk ribuan peket plastik kecil bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
"Kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman sehingga 5 Disember ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131204/je_03/Heroin-RM138-juta-dirampas#ixzz2mSW82YG5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment