Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

Geng curi lembu tumpas


Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
Muar: Satu sindiket curi lembu tumpas berikutan penahanan seorang lelaki berusia 66 tahun di sebuah rumah di Rantau, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari, pihaknya turut merampas 35 lembu tenusu bernilai RM100,000.

“Kami menyerbu lokasi terbabit susulan laporan kes samun berkawan di Ladang Ternak Lembu Tenusu Fidlot, Lubuk Bakul, Pagoh pada jam 2 pagi, hari sama.

“Dalam kejadian itu, lima lelaki menceroboh ladang ternakan berkenaan dan mengikat dua pekerja warga Pakistan sebelum melarikan 21 lembu tenusu dianggarkan bernilai lebih RM60,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Menurut Azman, ketika kejadian, dua pekerja itu tidur di kuarters ladang yang terletak 50 meter dari kandang lembu.

Beliau berkata, suspek turut mengikat mangsa dengan tali sebelum memunggah lembu ke dalam dua lori lima tan.

“Kedua-dua pekerja itu berjaya melepaskan diri pada jam 4 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada majikan mereka.

“Sebaik menerima laporan daripada pemilik ladang berusia 52 tahun, kami menubuhkan pasukan khas sebelum menyerbu sebuah rumah di Jalan Linggi, Rantau pada tengah hari, hari sama,” katanya.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang suspek dan merampas tiga lembu di sekitar kediaman suspek terbabit.

Siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah ladang di Kampung Muhibah, tidak jauh daripada lokasi suspek ditahan.

Azman berkata, di Kampung Muhibah, pihaknya merampas 24 lembu dewasa dan lapan anak lembu.

“Kami masih menyiasat sama ada ladang itu digunakan sebagai tempat menyimpan lembu curi sebelum dijual kepada pihak lain atau sebaliknya,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment