Search This Blog

Monday, December 23, 2013

Gaji pekerja RM659,000 lebur disamun


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Kapar: Sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang dan besi nekad menyamun wang tunai RM659,000 milik sebuah syarikat di Bandar Baru Klang, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 40-an bersama tiga lagi rakan sekerja baru selesai menunaikan cek majikan di sebuah bank berhampiran tempat kejadian untuk membayar gaji pekerja.

Menurut sumber, selesai menunaikan cek, mangsa bergegas pulang membawa wang tunai untuk diserahkan kepada majikan di pejabat mereka di Klang, tetapi selepas beberapa minit, kereta dipandu mangsa dihalang sebuah kereta BMW dinaiki tiga lelaki di satu persimpangan jalan.

“Tiga lelaki bersenjatakan parang dan besi keluar daripada kereta serta meluru ke arah kereta dinaiki mangsa dan tiga lagi rakannya.

“Suspek memecahkan cermin tingkap sebelah pemandu dan penumpang depan menggunakan parang dan besi serta mengarahkan mangsa menyerahkan beg berisi wang berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, tindakan suspek itu menyebabkan mangsa dan rakan sekerjanya terkejut sebelum seorang daripada suspek memaksa mangsa membuka pintu MPV berkenaan.

Beliau berkata, suspek kemudian mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkannya untuk menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak mahu diapa-apakan.

Tambahnya, bimbang dicederakan, mangsa meminta rakannya yang memegang beg berisi wang menyerahkannya kepada suspek yang kemudian memecut kereta ke jalan utama.

Difahamkan, mangsa dan rakannya bergegas ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk membuat laporan sejurus kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan polis untuk mengesan suspek.

Menurut Jani, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

No comments:

Post a Comment