Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

Dua kali disamun


Oleh MOHAMAD HUSIN
Bukit Kayu Hitam: “Kami terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan cabaran, termasuk disamun dua kali ketika di Iran. Itu pengalaman paling pahit pernah kami tempuhi kerana hampir diculik ketika di negara berkenaan.

“Alhamdulillah, kami tidak diapa-apakan kerana mereka hanya mengambil generator.



Saya percaya Allah sentiasa melindungi kami sekeluarga,” kata Jamalulail Ismail, 44, yang selamat tiba ke tanah air bersama keluarganya dari England selepas melalui 26 negara membabitkan perjalanan selama 155 hari dengan menaiki kenderaan caravan.

Keluarga berkenaan selamat tiba ke negara ini melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, di sini, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Jamalulail yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat di England bersama isterinya Sofinee Harun, 38, dan empat anak mereka iaitu Sabeera, 16; Syameem, 15; Sumrah, 13, dan Seif, 10, berjaya meneruskan misi ‘By Road To Malaysia’ dan selamat tiba di negara ini dengan disambut ahli keluarga mereka yang berkumpul sejak jam 11 pagi.

Pasangan berkenaan yang menetap di England selama 14 tahun sejak 1999 dan memperoleh taraf penduduk tetap (PR) negara itu bertolak dari rumah mereka di Seaham, Sunderland, England sejak pertengahan Julai lalu sebelum tiba di Malaysia, tengah hari semalam.

Jamalulail yang berasal dari Perak berkata, dia dan keluarga menyifatkan perjalanan melalui jalan darat itu mempunyai pelbagai dugaan dan cabaran berbeza di setiap negara yang mereka lalui.

Menurutnya, mereka menempuh 26 negara termasuk Turki, Iran, Laos, China, Thailand, Kazakhstan, Itali dan Perancis yang memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal kerana berurusan di setiap negara seperti permohonan visa ke sesuatu negara terbabit.

“Saya anggap perjalanan ini universiti terbaik buat kami sekeluarga.

Kami banyak belajar mengenai budaya dan sejarah tempat yang kita lawati di sepanjang jalan.

“Kami belajar banyak soal keselamatan jalan raya, bantuan kecemasan, laluan perancangan sebelum memulakan perjalanan ini selain perlu hidup bersama-sama dalam ruang karavan yang kecil,” katanya yang ditemui sebaik tiba di sini, semalam.

Jamalulail berkata, dia yang membeli kcaravan jenis Mercedes tahun 1998 di England, pada mulanya berasa gusar dengan jangka hayat kenderaan itu kerana terpaksa melalui laluan di beberapa negara sebelum tiba ke Malaysia.

“Bagaimanapun, selepas diservis dan diperiksa, ia memberi keyakinan bahawa kenderaan ini selamat digunakan.

“Apa yang menarik mengenai perjalanan ini ialah kami dapat berhenti di setiap bandar dan bertemu masyarakat setempat.


Yang istimewanya kerana kami bertolak dari England pada dua Ramadan lalu ketika umat Islam berpuasa.

“Kami berbuka puasa dengan mereka dan melakukan solat Tarawih bersama penduduk tempatan beragama Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment