Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

Cuba lerai pergaduhan, pengawal mati ditembak


KAPIT 3 Dis. - Tindakan seorang pengawal keselamatan cuba meleraikan pergaduhan antara seorang lelaki dengan menantunya berakhir dengan tragedi apabila dia mati ditembak dengan senapang buatan sendiri di Rumah Sait, Sungai Palo, Nanga Gat di sini semalam.
Kejadian berlaku pukul 5 petang ketika mangsa, Uyang Jubong, 49, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Stapang di Ulu Baleh, tidak jauh dari lokasi kejadian melalui kawasan rumah panjang berkenaan dan ternampak pergaduhan dua beranak itu lalu cuba meleraikannya.
Namun tindakan mangsa mengundang kemarahan lelaki yang bergaduh dengan menantunya itu.
Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan mengambil senapang buatan sendiri iaitu bekakok dan melepaskan tembakan sehingga mengenai mangsa.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Entusa Imam berkata, pergaduhan antara suspek dan menantunya itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai kayu balak.
"Sebelum kejadian menantu suspek meminta sebuah syarikat pembalakan membantu menarik tiga batang balak ke rumah panjang mereka tetapi dibantah oleh bapa mertuanya.
"Mereka kemudian bergaduh dan Uyang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah terletak kira-kira 10 minit perjalanan ke rumah panjang berkenaan kebetulan melihat kejadian itu dan cuba meleraikan pergaduhan itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131203/je_10/Cuba-lerai-pergaduhan-pengawal-mati-ditembak#ixzz2mSUQlodR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment