Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

Bas terjun hempap van


Manila: Sekurang-kurangnya 22 maut dan 16 cedera apabila bas membawa penumpang terbabas sebelum terjunam jatuh dari lebuh raya bertingkat dan menghempap sebuah van, semalam.

Rakaman televisyen menunjukkan polis memeriksa kawasan nahas manakala mayat bergelimpangan di sekitarnya.


Van terbabit pula tidak dapat dikenal pasti malah kelihatan seperti selonggok besi putih.



Penumpang yang terselamat Ryan Bresa berkata, bas dinaiki dipandu terlalu laju sehingga pemandunya akhirnya gagal mengawal kenderaan itu.


Superintendan Elizabeth Velasquez berkata, bas itu dikatakan terbabas dari lebuh raya Skyway lalu menghempap van berkenaan yang melalui jalan 9.6 meter di bawahnya dalam kejadian waktu subuh di bandar Paranaque.


Dr Carmencita Solidum berkata, dua pemandu terbabit antara 10 terselamat yang dibawa ke Hospital Paranque.

Katanya, pemandu bas parah manakala pemandu van cedera ringan.


Jurucakap Skyway Operations and Maintenance Corp Ivy Vidal berkata, punca kejadian masih disiasat, namun ketika itu jalan licin akibat hujan.

Sementara itu, saksi Irene Sisperes berkata dia memandu bersama anak perempuannya pada kelajuan 80 kilometer sejam (kmsj) sebelum dipotong bas terbabit. Irene menganggarkan bas itu dipandu pada kelajuan antara 100 dan 110kmsj dalam keadaan langit masih gelap serta hujan.


“Selepas beberapa meter saya lihat bas itu terbabas sebelum jatuh menyebabkan saya menjerit terkejut.


“Ketika itu tiada kenderaan lain,” katanya.


Menurutnya, dia melihat penghadang lebuh raya hancur sebelum terus melaporkan kejadian itu di plaza tol.


Sementara itu, pekerja rumah urus mayat Angelo Dequina berkata, 17 mayat dibawa ke situ dari hospital dan tempat kejadian.


Sementara itu pengerusi Lembaga Pengangkutan, Francais dan Kawalan Winston Ginez berkata, keseluruhan 78 bas Don Mariano Transit Corp digantung perkhidmatan selama 30 hari. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

No comments:

Post a Comment