Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

Banjir lagi...

Oleh ROSLI ILHAM
Chukai: “Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting saja selepas air mula masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam),” kata Adam Othman, 54, mangsa banjir dari Kampung Labohan, Kerteh, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian semalam, hujan lebat disusuli angin kencang selama empat jam menyebabkan sebahagian rumah penduduk kampung berkenaan dinaiki air.

Adam berkata, dia kemudian bergegas ke rumah adiknya yang terletak bersebelahan dengan kediamannya berikutan air naik dengan cepat.
“Hujan sangat lebat menyebabkan air melimpah ke atas jalan utama. Saya sendiri gagal menyelamatkan pelbagai perabot di dalam rumah kerana air naik semakin tinggi,” katanya. Peniaga kedai makan, Razali Mohamad, 63, berkata dia segera ke kedainya selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi.

“Saya yang tinggal di kampung Kemasik dan segera ke kedai. Ketika itu air sudah setinggi 1.5 meter memenuhi ruang kedai makan menyebabkan tiga unit peti sejuk tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Zainab Endut, 68, pula berkata, hujan lebat semalam menyebabkan tanah di sekitar terutamanya bahagian hadapan rumahnya terhakis teruk.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/22

No comments:

Post a Comment