Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

Atlet angkat berat remaja maut


MELAKA 16 Dis. - Seorang atlet angkat berat remaja negeri ini meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terhumban ke dalam longkang di Jalan Ayer Leleh, di sini tengah malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, Muhamad Afiq Rasik, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian dalaman badan.
Menurut jurucakap polis, mangsa dan beberapa orang rakannya dalam perjalanan pulang dari arah pusat bandar ke rumahnya di Kampung Ayer Leleh sebelum motosikal jenis Demak miliknya terbabas.
“Dia tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan teruk di bahagian dalam badan," kata jurucakap itu ketika dihubungi di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, mangsa yang bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Seri Bandar sejak sebulan lalu kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sementara itu, jurulatih mangsa, Yuzaimi Yunus, 28, memberitahu, mangsa terlibat dalam sukan angkat berat sejak berumur 17 tahun dan kini dipilih mewakili Melaka.
“Dia sedang giat menjalani latihan angkat berat dan bercita-cita mendapat pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Arwah juga pernah memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Remaja Kebangsaan 2013 di Putrajaya bagi kategori 105 kilogram pada Oktober lalu," ujarnya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini.
Kakak mangsa, Ernisa, 28, pula memberitahu, mangsa sempat mengambil seorang adiknya yang bekerja di Dataran Pahlawan kira-kira pukul 10.30 malam sebelum keluar semula untuk minum bersama rakannya.
“Jenazah Muhamad Afiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Leleh di sini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131217/je_01/Atlet-angkat-berat-remaja-maut#ixzz2nngxNb9A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment