Search This Blog

Monday, December 30, 2013

Agensi gagal daftar 27 pelajar dengan EME


Shah Alam: Nasib 27 pelajar Malaysia yang mengikuti bidang perubatan Universiti Mansoura di Mesir kini terumbang-ambing berikutan kegagalan agensi dilantik menyediakan fail peribadi pelajar untuk didaftarkan dengan Pendidikan Malaysia Egypt (EME).

Kegagalan itu mengundang masalah kepada pelajar terbabit untuk memasuki dewan peperiksaan akhir tahun sehingga mencetuskan kebimbangan ibu bapa.


Bimbang keselamatan anak mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti itu, dua bapa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.



Pesara tentera, Hasnor Yahya, 56, bimbang jika pelajar berkenaan gagal didaftarkan dengan EME, sukar bagi Jabatan Pelajar Malaysia di Mesir serta Wisma Putra memantau keadaan atau menyelamatkan mereka sekiranya berlaku kekacauan atau masalah.


Katanya, dia bimbang dengan keadaan anaknya, Farah Diana, 19, yang sudah memulakan pengajian di universiti sama kerana visa sementara diperoleh tiga bulan lalu hampir tamat.


“Sebelum ini kami pernah membuat laporan polis di Damansara bagi meminta polis menyiasat mengenai unsur penipuan yang membabitkan agensi terbabit.

“Kami menghantar anak menggunakan agensi ini kerana agensi lain mendakwa kouta mereka sudah penuh dan bukan kerana bayaran dikenakan lebih murah.


“Pada awal Disember lalu, kami ada bertemu wakil agensi berkenaan meminta mereka menyegerakan pendaftaran anak kami dengan EME, tetapi kami tidak bersetuju dengan permintaan mereka agar kami menambah wang RM3,500 bagi menyelesaikan segera masalah ini,” katanya.

Seorang lagi bapa, Roslan Salbi, 46, berkata, anak perempuannya Puteri Sabrina Shazlin, 18, mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di negara itu, tetapi dia bimbang dengan kedudukannya berikutan masih gagal didaftarkan dengan EME.


“Jika tidak berdaftar dengan EME, anak saya akan menghadapi kesukaran kerana dia tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan akhir kelak” kerana pelajar Malaysia yang belajar di Mesir perlu berdaftar dengan EME katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment