Search This Blog

Tuesday, December 17, 2013

80 rumah setinggan musnah terbakar


SEBAHAGIAN daripada penduduk hanya mampu melihat rumah mereka musnah dijilat api dalam satu kebakaran memusnahkan 80 pintu daripada 10 blok rumah di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau, Sabah, semalam. - BERNAMA
TAWAU 17 Dis. - Lebih 400 penduduk setinggan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini tinggal sehelai sepinggang setelah 80 buah rumah mereka berusia lebih 30 tahun musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, dua penduduk berusia 60 dan 42 tahun cedera akibat terjatuh dan sesak nafas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata, dua buah jentera dengan 14 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pukul 9.05 pagi.
"Kami sukar memadamkan kebakaran kerana faktor angin yang kuat dan keadaan rumah diperbuat daripada papan yang dibina rapat antara satu sama lain. Api hanya dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 10.57 pagi.
"Punca dan jumlah kerugian sedang disiasat, tetapi kita tidak menolak kemungkinan kebakaran ini berlaku akibat kecuaian penduduk," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa, Abdul Rajeh Lajah, 59, berkata, sewaktu kejadian dia berada di tempat kerja dan kejadian itu hanya diketahui setelah dihubungi anak perempuannya.
"Meskipun tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat daripada kebakaran ini," katanya yang ditemui di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131218/je_04/80-rumah-setinggan-musnah-terbakar#ixzz2nnjxnp8k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment