Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

76 pengawal keselamatan warga asing ditahan dalam Op Cantas


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Seramai 76 pengawal keselamatan warga asing yang terlibat dalam pelbagai kesalahan ditahan dalam operasi bersepadu Op Cantas Khas Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sekitar ibu negara semalam.
Operasi bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang itu disertai lapan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kira-kira 115 pegawai dan anggota dari kesemua jabatan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, sebanyak tujuh lokasi menjadi tumpuan pihaknya untuk melakukan pemeriksaan terhadap pengawal keselamatan termasuk ketulenan kad pengenalan.
"Lokasi itu termasuk kawasan perumahan, kondominium, apartmen, pasar raya, hotel, tapak projek dan tempat letak kereta di sekitar Cheras, Brickfields, Dang Wangi dan Sentul kerana terdapat ramai pengawal keselamatan warga asing bekerja di situ.
"Hasil pemeriksaan kita mendapati kesemua 76 pengawal berusia antara 28 hingga 45 tahun itu yang lengkap berpakaian seragam tiada dokumen pengenalan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Khairi, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki warga Nepal, 20 (Pakistan), 11 (India), enam (Indonesia), masing-masing dua Sri Lanka dan Bangladesh serta seorang Filipina.
"Antara kesalahan mereka adalah tiada dokumen perjalanan, permit tamat tempoh, melanggar syarat permit kerja serta memiliki kad pengenalan orang lain.
"Dua daripada mereka ditahan kerana memiliki kad pengenalan orang lain dan polis akan terus mengadakan operasi seperti ini bagi membendung kegiatan jenayah melibatkan golongan ini," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131204/je_08/76-pengawal-keselamatan-warga-asing-ditahan-dalam-Op-Cantas#ixzz2mSVQTRYQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment