Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

496 pengawal keselamatan asing ditahan


2013/12/22
Kuala Lumpur: Seramai 496 pengawal keselamatan warga asing ditahan dalam operasi bersepadu sejak 1 November hingga 17 Disember lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata daripada jumlah itu, 461 pengawal keselamatan rakyat asing haram manakala 35 orang lagi menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain.


Berikutan itu, katanya, sebanyak 30 surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada syarikat kawalan keselamatan yang didapati melanggar Akta Agensi Persendirian 1971.

“Operasi penguatkuasaan bersepadu itu bagi menangkap pengawal keselamatan asing haram selain memantau kesalahan dilakukan syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.


43 syarikat dibatal lesen

Abdul Rahim berkata, sejak 2010 hingga kini, kementerian menggantung dan membatalkan lesen 43 syarikat kawalan keselamatan kerana pelbagai kesalahan mengikut akta berkenaan.
Beliau berkata, kementerian akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap penggunaan senjata api di semua syarikat agensi persendirian dan pengawal keselamatan.

Katanya, permohonan dan lesen membawa dan mengguna senjata api kini diperketatkan termasuk mewajibkan pengawal keselamatan membuat pengesahan cap jari secara biometrik serta hadir sendiri di ibu pejabat polis berkaitan.

“Pada masa sama, kementerian juga mengaudit semua syarikat keselamatan berlesen bagi mengenalpasti syarikat bermasalah selain untuk sistem pengkelasan mengikut kualiti dan keupayaannya.

“Sistem yang dicadang dilaksana pada Mac 2014, akan menjadi panduan agensi kerajaan, swasta dan masyarakat untuk melantik syarikat keselamatan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, berikutan operasi bersepadu itu juga, permohonan untuk melakukan tapisan terhadap pengawal keselamatan oleh syarikat turut meningkat.

“Sebelum ini, kementerian menerima antara 2,500 hingga 3,000, tetapi sejak November hingga 19 Disember lalu, sebanyak 12,600 permohonan diterima,” katanya.

No comments:

Post a Comment