Search This Blog

Sunday, December 22, 2013

2 askar Britain serang masjid dipenjara


Rakaman CCTV menunjukkan Stuart Harness dan Gavin Humphries membuat bom untuk menyerang Pusat Kebudayaan Islam Grimsby, London pada Mei lalu. - AGENSI
LONDON 21 Dis. - Sebuah mahkamah di Hull menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas dua bekas askar Britain yang didapati bersalah selepas menyerang sebuah masjid untuk membalas dendam terhadap pembunuhan seorang askar negara ini.
Stuart Harness, 34, dan Gavin Humphries, 37, didapati bersalah melontar bom buatan sendiri ke Pusat Kebudayaan Islam Grimsby ketika aksi mereka di situ dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang disangka telah ditutup.
Rakaman CCTV berkenaan yang disiarkan dalam mahkamah, menunjukkan aksi kedua-dua defendan membuat bom sehingga melancarkan serangan terbabit.
Hakim mahkamah, Mark Bury menjatuhkan hukuman tersebut selepas kedua-dua tertuduh mengaku melakukan serangan itu yang boleh mengancam nyawa orang lain.
"Jenayah ini merupakan keganasan yang sengaja disasarkan terhadap agama lain dengan tujuan membalas dendam.
"Tindakan sedemikian tidak boleh diterima dan hukuman yang setimpal perlu dilaksanakan sebagai pengajaran serta menghalang perkara itu berlaku lagi," katanya.
Bury turut menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas defendan ketiga Daniel Cressey yang menafikan dakwaan dia membantu dua bekas askar terbabit untuk melakukan serangan tersebut.
Harness dan Humphries melancarkan dua serangan bom petrol ke atas masjid itu pada 26 Mei lalu, empat hari selepas Lee Rigby dibunuh oleh dua lelaki Britain yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda, Michael Adebolajo, 29, dan Michael Adebowale, 22 tahun.
Semalam, Adebolajo dan Adebowale, disabitkan kesalahan membunuh Lee Rigby dan akan dijatuhkan hukuman pada awal tahun depan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131222/lu_04/2-askar-Britain-serang-masjid-dipenjara#ixzz2o9OAeJlt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment