Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Warga Filipina miliki IC palsu ditahan

SINAR HARIAN
29 November 2013
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pembantu rumah warga Filipina berusia 55 tahun yang memiliki sekeping kad pengenalan palsu dengan modal hanya sekeping gambar dan RM300 telah dicekup imigresen Putrajaya.

Dia ditahan dalam satu Ops 6P Bersepadu yang dijalankan bersama Kementerian Dalam negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dia memperoleh kad pengenalan tersebut dari seorang rakannya yang memancingnya untuk mendapatkan kad pengenalan tersebut sebelum membayarnya.

Sebelum itu, wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ini memasuki Malaysia pada tahun 2000 menggunakan pasport dengan bekerja sebagai pembantu rumah.

Namun, disebabkan tidak mendapat gaji dari majikannya dia nekad berhenti pada tahun 2006 dan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sini.

Timbalan Penolong Pengarahnya, Nik Shahanizam Ahmad berkata,  hasil soal siasat mendapati, wanita ini telah berkhidmat selama tujuh tahun di situ.

“Kerja yang dipohonnya pun hanya dengan menggunakan kad pengenalan palsu sahaja.

“Dia turut menggunakan nama Muilichit Binti Kunting pada pengenalannya dan berdasarkan kenyataan, itu bukan nama sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, dia telah menyerahkan wanita ini kepada JPN untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, dua serbuan lain turut dijalankan di kondominium di sini. Hasilnya, seramai 25 orang telah diperiksa dan sembilan darinya adalah warga tempatan.

“Berdasarkan pemeriksaan tersebut, 11 warga asing dari Nepal yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dan seorang tukang cuci warga Indonesia ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri. Kesemua ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen KLIA dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

“Manakala, seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan penyelia kepada pengawal keselamatan turut ditahan kerana sengaja memberi perlindungan kepada individu yang melanggar peraturan akta,” katanya.

Menurutnya, penyelia ini akan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

No comments:

Post a Comment