Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Warga emas maut diragut


Anggota Polis Forensik memeriksa keadaan sekitar tempat kejadian selepas Jamariah Ahir maut diragut seorang lelaki ketika menaiki motosikal bersama anaknya di Jalan Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 15 Nov. - Seorang ibu yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja membonceng motosikal anaknya maut selepas terjatuh akibat diragut penjenayah di Jalan Tuan Haji Said di sini hari ini.
Jamariah Ahir, 65, dari Kuarters JKR Jalan Tuanku Kurshiah meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan beg tangannya masih berada di sisi manakala anak perempuannya, Norain Mohd. Yusof, 23, mengalami cedera ringan.
Lebih menyedihkan beberapa ketul ayam goreng yang dibeli anaknya sebelum kejadian itu untuk dijamah bersama bertaburan di atas jalan raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharudin Mustapha berkata, mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat di sebuah bank di bandar ini dipercayai bergelut dengan salah seorang daripada dua peragut yang menaiki sebuah motosikal.
"Mangsa terjatuh sewaktu insiden tarik-menarik beg tangannya. Bagaimanapun wanita itu tidak melepaskan beg dipegang sebaliknya dia terjatuh dari motosikal ditunggangi anaknya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah beliau, suspek yang dipercayai menaiki motosikal jenis Modenas Kriss melarikan diri selepas melihat mangsa terjatuh dan gagal melarikan beg tangannya.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.
Utusan Malaysia difahamkan dua beranak itu yang menaiki motosikal Honda Wave diekori oleh dua penjenayah berkenaan sebaik sahaja keluar dari bank tempat dia bekerja dan mereka mengesyaki Jamariah bersama anaknya mengeluarkan wang.
Anak mangsa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital dekat sini mengalami trauma akibat kejadian itu dan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan susulan.
Baharudin memberitahu, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki penjenayah berkenaan sedang dilakukan pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_04/Warga-emas-maut-diragut#ixzz2kmQw2EmZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment